
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu suara dalam dua perbualan telefon yang dipintas dikenal pasti sebagai suara anggota polis yang sedang dibicarakan bagi kesalahan berkaitan pencerobohan pengganas Sulu di pantai timur Sabah.
Saksi kedua yang dilindungi itu berkata beliau mengecam suara Detektif Korporal Hassan Ali Basari dalam komunikasi yang dipintas sebelum ini di mana tertuduh memperkenalkan identiti dirinya.
Hassan dari Semporna dituduh dengan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3 Mac tahun ini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Saksi berkenaan berkata pada 2 Mac tahun ini, Hassan dihubungi seorang lelaki Sabah jam 7.37 malam untuk bertanyakan jika satu peperangan sudah berlaku dan Hassan mengiyakannya.