IPOH: Sebanyak 18 orang daripada empat keluarga yang sedang lena tidur, terselamat dalam kejadian tanah jerlus di Kampung Pengkalan Gate Tambahan Dua, Pengkalan di sini awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian 3.30 pagi itu, satu rekahan dengan kedalaman lima meter berlaku dan merebak sehingga luar sebuah rumah papan bernombor 100 di Laluan Lahat Timur2/5 di kampung berkenaan.
Dua buah rumah lain yang terletak bersebelahan rumah itu juga mengalamikerosakan selain retakan pada lantai dan dinding.
Ketua Balai Polis dan Penyelamat Pasir Puteh Zainasri Zainal berkata lima lubang akibat tanah jerlus sedalam antara 1.5 dan dua meter juga dikesan berlaku di kawasan lapang berhadapan ketiga-tiga rumah itu, yang kesemuanya dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.
“Kawasan seluas hampir satu hektar radius ditutup kerana dikhuatiri berbahayadan kerja pengosongan rumah akan dijalankan,” katanya di sini, Sabtu.
Zainasri berkata Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Majlis Bandar Ipoh(MBI) akan menentukan kestabilan tanah di kawasan itu.
Kesemua mangsa pula ditempatkan sementara di Dewan KEMAS berhampiran kawasan kediaman mereka.
Sementara itu, G.Sandaran, 64, bekas kakitangan MBI, berkata rumah yangterjejas teruk dalam kejadian itu adalah milik anak lelakinya, S. Anbakalan, 31, yang terletak di sebelah kiri rumah yang tidak didiaminya lagi.
Beliau berkata pada mulanya beliau mendengar bunyi seperti kayu patah dan menyangka pencuri mahu memasuki rumahnya yang bernombor 99 di laluan sama.
“Apabila keluar, saya nampak struktur rumah saya di sebelah kiri telah mendap. Saya segera mengalihkan motosikal dan ketika itulah tanah jerlus ke bawah sehingga menyebabkan dinding dua bilik di rumah saya retak dan mendap,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.
Sandaran berkata beliau bersyukur kerana keluarga anak lelakinya tidak bermalam di rumah itu kerana mereka baru sahaja mengadakan majlis doa kematian isterinya M.Rajamah kerana kegagalan hati lima hari lepas.
Pemandu lori, P. Premkumar, 39, yang tinggal di rumah bernombor 101 pula berkata beliau terjaga daripada tidur apabila terasa gegaran pada katilnya.
“Tiba-tiba katil saya bergegar dan saya dengar bunyi seperti kayu patah.Saya sangka pokok patah. Selepas itu saya dengar jiran menjerit suruh saya dankeluarga keluar dari rumah,” katanya.
Beliau yang mendiami rumah itu sejak 33 tahun lepas, berkata isterinya K. Malarvelli, 36, dan empat anak mereka tidak berani memasuki rumah itu kerana dua bilik, lantai serta dindingnya retak.-