Sudah banyak pihak menyuarakan pandangan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak perlu memberikan pelbagai peruntukan dan wang ringgit ketika kempen PRK DUN Kajang.
Mereka berpendapat jika penduduk Kajang mahupun pembangunan yang disediakan kerajaan BN, biarlah mereka mengundi calon BN yang bertanding pada 23 Mac ini.
Pada Sabtu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sependapat pilihan raya kecil Dun Kajang di Selangor tidak perlu menjadi medan kepada BN mencurahkan pelbagai peruntukan pembangunan.
Beliau juga mahu jentera BN yang jadi pembangkang di Selangor mengubah minda agar tidak terlalu bergantung kepada penyaluran peruntukan pembangunan dalam mendapatkan sokongan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, BN mempunyai potensi besar untuk menang pilihan raya kecil itu berikutan pengundi khususnya Melayu telah mula memberikan sokongan kepada BN.
“Penduduk sedar kerajaan Selangor gagal menyediakan infrastruktur diperlukan penduduk walaupun pernah berjanji pada pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rakyat UMNO Bahagian Masjid Tanah, Alor Gajah.
Menurut beliau, dikalangan orang Cina pula, mereka tahu bahawa Datin Paduka Chew Mei Fun ketika jadi anggota Parlimen Petaling Jaya Utara merupakan seorang yang baik dan sering turun ke bawah.
“Jadi kalau ditakdirkan beliau menang jadi Adun Kajang, beliau akan laksanakan tanggungjawab yang sama biarpun Selangor dipegang pembangkang,” katanya.
Beliau yakin penduduk Kajang mampu membuat pilihan tepat dengan memberi peluang kepada calon BN untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, pengundi perlu menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya berniat memenuhi keinginan politiknya.