
Kerajaan negeri Selangor berkuasa ke atas status sebuah rumah kedai di Taman Medan, Petaling Jaya yang memasang lambang salib sehingga menerima bantahan penduduk, sama ada ia telah berdaftar sebagai rumah ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kabinet yang berbincang hari ini berpendapat, penduduk yang membuat bantahan mengenai pemasangan lambang salib itu sepatutnya tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Katanya, mereka juga sepatutnya berbincang dengan pihak yang berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan.
‘‘Rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita hendaklah mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat menghormati antara kaum yang berbeza agama.
‘‘Polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang telah mengadakan bantahan dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada jika sabit kesalahan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Najib, Akta Hasutan bertujuan menjamin keamanan dan keharmonian kaum di negara ini dan ia melindungi semua agama dan kaum.
Ahad lalu, sekumpulan penduduk mengadakan bantahan terhadap tindakan pihak gereja yang memasang lambang salib di luar rumah kedai di Taman Medan di kawasan yang majoriti penduduknya Melayu.