Jangan hairan kalau kita mendapati diri kita dalam keadaan bingung, dek kata dan tingkah dari insan bernama Mahathir Mohamad.
Dulu dia penghulu, sekarang dia kaki temberang. Apa tidaknya, sedang pada 2 Oktober lalu beliau berkata akan hadir pada himpunan Bersih 5, tiba-tiba dalam satu temubual dengan stesen radio online Bangsar Utama, memberitahu beliau akan berada di luar negara pada 19 November atas alasan sudah lama merancangnya.
Setelah beriya-iya mengajak rakyat turun berdemo sambil mengenakan tshirt Bersih, akhirnya beliau memilih untuk “lari”. Mungkin juga ia sekadar gimik agar ramai yang merayu kepadanya untuk turun berdemo, mana kita tahu, kan? Almaklum, sambutan yang diterima dari pendemo sewaktu turun ke Bersih sebelum ini pun sangat dingin.
Entahkan suratan atau kebetulan, Mahathir sekali lagi memilih 19 November untuk “melarikan diri ke luar negara”. Pada 19 November 1985, terjadi satu tragedi yang tidak mungkin hilang dari lipatan sejarah negara. Seramai 14 orang terkorban, manakala berpuluh lagi cedera dalam peristiwa berdarah Memali.
Ketika kejadian, Mahathir dikhabarkan berada di China, sehinggalah didedahkan oleh Musa Hitam pada Mac 2014 bahawa bapa kepada Mukhriz itu sebenarnya berada di Kuala Lumpur!
Kali ini, alasan yang hampir sama digunakan. Perlu kita akui, ia adalah langkah yang bijak kerana tentu beliau tidak mahu dibabitkan sekiranya berlaku sesuatu nanti. Apatah lagi Kuning bakal berhadapan dengan Merah. Pasti tegang!
Cuci tangan barangkali?