Kenyataan Datuk A Kadir Jasin yang mendakwa kira-kira 40 Ahli Parlimen UMNO berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial.
Ramai sangsi sama ada dakwaan itu benar atau tidak walaupun khabar angin ramai lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya daripada UMNO akan meninggalkan parti..
Kenyataan Kadir itu turut mendapat perhatian Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa apabila status terbarunya di Twitter turut menyentuh isu ini.
Malah posting Annuar itu juga mengatakan kenyataan terbaru yang dikeluarkan Datuk A. Kadir Jasin adalah sebagai isyarat kepada senario politik yang bakal berlaku.
“Kenyataan terbaru sahabat saya DAKJ (Datuk A. Kadir Jasin) adalah bertujuan memberi isyarat kepada DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa dengan ini, anggap lah ‘GAME OVER’ for Anwar,” katanya dalam posting tersebut.
Dalam postingnya itu turut dikepilkan kenyataan ‘dijangkakan seramai 40 Ahli Parlimen UMNO di seluruh negara dipercayai akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia’.
Difahamkan usaha menarik MP UMNO dan BN mahu diselesaikan sebelum pembentangan Bajet 2019 Jumaat depan.
Kenyataan Annuar mungkin merujuk kepada Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijanjikan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Atau mungkin bagi menyatakan apa juga perancangan politik bakal Presiden PKR itu sudah berakhir.
Terdahulu Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPBM dalam kenyataannya berkata kira-kira 40 MP dari UMNO berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan PPBM.
Katanya kesemua mereka berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi PPBM,Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyididn Yassin serta para kepimpinan tertinggi parti itu sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.
“Buat masa ini, belum ada sesiapa yang hampir sampai peringkat Datuk Mustapa (Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Bersatu) walaupun mereka telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin tertinggi PPBM.
“Mereka menggambarkan mereka terbuka kepada memikirkan untuk keluar UMNO dan masuk PPBM tetapi masalahnya mereka juga terpaksa memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu kerana ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah kepada siasatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan PPBM Bahagian Tebrau, hari ini.
Hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri juga mendedahkan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang lain ada berjumpa dengannya, namun, tidak membuat apa-apa keputusan.
Ketika ditanya berapa ramai pemimpin UMNO berjumpa dengan beliau, Muhyiddin hanya menghitung jari-jarinya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Malam tadi, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyertai PPBM selepas keluar dari UMNO pada 18 Sept lepas.
Beliau menyerahkan borang keanggotaan kepada Mahathir selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.
Selain Mustapa, wakil rakyat UMNO lain yang meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 ialah: Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Syed Abu Hussin, Ahli Parlimen Labuan Datuk Seri Rozman Isli, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman, dan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Dengan penyertaan Mustapa, PPBM kini mempunyai 14 kerusi di parlimen, PAN 3, DAP 42, dan PKR 50 kerusi.