Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mengakui mempunyai banyak syarikat sebelum menjual beberapa perniagaan termasuk Mutiara Telekom dengan nilai RM480 juta kerana ingin bebas daripada hutang.
Memberi keterangan kepada pihak pembelaan, Tengku Adnan bagaimanapun masih mengekalkan syer di tiga syarikat iaitu Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd dan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) namun tidak menamakan syarikat ketiga.
Peguam Datuk Tan Hock Chuan melalui prosiding bela diri Tengku Adnan, memberi peluang kepada Bendahari UMNO itu menjelaskan ketidaksetujuan beliau terhadap Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim yang mencadangkan dirinya tidak mematuhi kod etika penjawat awam kerana memiliki syer dalam syarikat.
Tengku Adnan tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan kerana sudah memaklumkan kepada perdana menteri ketika itu bahawa beliau mempunyai syer tiga syarikat.
“Saya simpan Hyundai (Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd), Tadmansori (Holding) dan jual Mutiara Telekom yang kini dikenali sebagai Digi sebab saya ingin menjadi bebas hutang dan menumpukan tugas (sebagai menteri).
“Jika saya simpan (Mutiara Telekom) ia bernilai RM5 bilion… saya menjualnya pada RM480 juta” katanya dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Tengku Adnan menghadapi tuduhan menerima wang RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik THSB.
Syarikat THSB mempunyai kepentingan dengan Tengku Adnan yang diketahui syarikat Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan kerja rasminya ketika Tengku Adnan masih menjawat Menteri Wilayah Persekutuan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas tuduhan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada 14 Oktober tahun lalu.
Prosiding membela diri di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 25 Mac ini, dengan pihak pembelaan akan memanggil tiga saksi.