
Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Nan Ya di Teluk Sengat Kota Tinggi tidak sepatutnya salah guna kuasa mengarahkan guru membuka tudung kerana ianya tidak menyalahi peraturan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak harus menghormati adat, agama dan amalan dan memakai tudung adalah perkara biasa di mana-mana.
“Tidak ada arahan mesti buka tudung. Dalam Islam hukumnya dosa kalau tak pakai. Apa berlaku ini luar biasa,” katanya mengulas kejadian seorang guru saudara baru atau Cina Mualaf yang diminta membuka tudung oleh pengerusi lembaga sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Pengerusi terbabit, Pang Ah Ngang dan Guru Besar, Chiew Swee bagaimanapun, membuat permohonan maaf kepada guru terbabit, Choi Yi Shan, yang masih merahsiakan nama Islamnya di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, dekat sini, Jumaat..
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, memakai tudung adalah hak sesaorang manakala sebagai ahli lembaga sekolah pula tidak boleh salah guna kuasa.
“Baguslah dah minta maaf. Saya berharap kejadian itu tidak berulang,” katanya kepada media di Sri Gombak, Sabtu.
Kejadian itu mencetuskan rasa tidak puashati banyak pihak dan mencetuskan bantahan sehingga Ah Ngang dan Chiew Swee terpaksa memohon maaf kepada guru berkenaan.
Hadir sama pada majlis permohonan maaf itu semalam adalah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak; Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman dan Penghulu Mukim Johor Lama, Mohd. Nazri Kasmin.