Pasar Sungai Rajang, Sarawak menawarkan harga 75 sen bagi sekilogram cili hijau hari ini, harga paling rendah di negara ini.
Di Pasar Basah Kuala Perlis, Perlis, cili itu dijual pada harga RM10 sekilogram, menurut portal www.1pengguna.com.
Sementara itu, pasar raya Tesco Sungai Petani Selatan, Kedah menjual kubis bulat tempatan dengan harga yang paling rendah iaitu 99 sen sekilogram.
Ikan cencaru saiz sederhana pula dijual pada harga rendah iaitu RM3.90 sekilogram di pasar raya Econsave, Skudai, Johor dan Parit Buntar, Perak, sementara ikan bawal hitam berharga RM5 sekilogram di pasar raya Aktif di Triang, Pahang.
Bagi buah-buahan tempatan, betik dijual dengan harga RM1.49 sekilogram di pasar raya Giant Cheras, Kuala Lumpur dan di pasar raya Giant Shah Alam, Selangor.
Pisang emas pula dijual pada harga RM1.50 sekilogram di Pasar Basah Ranau, Sabah dan RM2 sekilogram di Pasar Besar Sungkai, Perak, manakala nenas dijual sebiji pada harga RM1 di Pasar Awam Kluang, Johor.
Tembikai tanpa biji pula dijual dengan harga serendah 79 sen sekilogram di pasar raya Hero di Wangsa Maju dan 99 sen di pasar raya The Store Sungai Petani, Kedah.
Portal kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut menyenaraikan harga ayam standard pada RM6 sekilogram di pasar raya Kip Mart Seremban, Negeri Sembilan dan RM6.19 di pasar raya Giant Superstore di Kluang, Johor.
Orang ramai juga boleh merujuk portal www.1pengguna.com kendalian KPDNK yang dapat membimbing mereka mendapatkan barangan pada harga kompetitif dalam menangani kos sara hidup.