
SINGAPURA: Penyanyi yang terkenal dengan lagu irama keroncong, Kartina Dahari, meninggal dunia di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, petang tadi akibat barah.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Biduanita Negara yang juga teman baiknya, Datuk Sharifah Aini.
“Anak angkat saya yang berada di Singapura memaklumkan, Kartina meninggal dunia di hospital Mount Elizabeth jam 6 petang tadi selepas bertahun-tahun menderita penyakit barah.
“Berita itu sangat menyedihkan kerana kami memang berkawan baik.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya sekitar Ogos tahun lalu, ketika saya mengunjungi rumahnya di sana,” katanya.
Kartina, 73 ialah antara biduanita Melayu era 1960-an hingga 1980-an. Selain menyanyi, beliau juga dikenali sebagai pelakon.
Antara lagunya yang popular ialah Jangan Ditanya, Sayang Di Sayang, Hati Ke Hati, Sejak Kita Berpisah dan duetnya bersama Datuk Ahmad Jais, Budi Setahun Segunung Intan.
Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan untuk para peminatnya ialah di Konsert Sayang Di Sayang terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013.
Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan jenazahnya akan dikebumikan pada Khamis.