SABAK BERNAM: Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran jam 3.40 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar Mohd Alhafiz Asmuni berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.49 petang dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar tiba di tempat kejadian pada jam 3.52 petang.
Menurutnya ketika bomba tiba di situ, hampir 80 peratus bangunan pejabat satu tingkat itu hangus dijilat api.
“Bangunan yang sebahagian kayu dan batu ini mudah terbakar dan merebak ke bahagian lain namun pihak bomba berusaha mengawal api daripada terus merebak ke bangunan lain.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa kira-kira 15 minit dan 24 anggota termasuk bomba sukarela terbabit dalam operasi pemadaman ini,” katanya.
Mohd Alhafiz berkata, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.