Tag: Pemancing

  • [VIDEO] Mayat mangsa ditemukan 1.5 kilometer dari lokasi dihanyutkan arus deras

    [VIDEO] Mayat mangsa ditemukan 1.5 kilometer dari lokasi dihanyutkan arus deras

    BENTONG – Mayat seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika memancing di Loji Air Semantan di sini ditemukan kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang di Sungai Semantan di sini hari 3 Ogos 2022.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, ditemukan terapung kira-kira pukul 10.28 pagi.

    “Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit Anjing Pengesan JBPM kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    “Mayat mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta dibawa ke hospital,”katanya di sini hari ini.

    Kelmarin seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di kawasan Loji Air Semantan dekat Kampung Lengkong di sini.

    https://youtu.be/EgK9xjvub8I

    Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang 2 Ogos 2022, aras air loji berkenaan tiba-tiba naik ketika mangsa bersama seorang rakannya memancing di loji berkenaan.

    Kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas batu menyaksikan rakan mangsa berjaya melompat ke atas sebuah batu besar manakala mangsa dihanyutkan arus deras.

    Menurut Ismail operasi pencarian hari ini (3 Ogos 2022) dimulakan pada pukul 8.30 pagi melibatkan kira-kira 50 anggota penyelamat dan 10 orang awam dengan operasi pencarian sehingga jarak lima kilometer dari lokasi kejadian.

     

  • [Video] 14 pemancing, empat kru selamat selepas terapung enam jam di laut

    [Video] 14 pemancing, empat kru selamat selepas terapung enam jam di laut

    LANGKAWI: Seramai 14 pemancing dan empat kru berhadapan detik cemas apabila terapung selama hampir enam jam di laut selepas bot yang dinaiki mereka karam di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah di pulau ini semalam.

    Bot yang dinaiki mangsa karam selepas air masuk ke dalam bot selepas papan di bahagian depan bot tersebut pecah kira-kira pukul 1.30 petang.

    Dalam tempoh tersebut mereka yang memakai jaket keselamatan hanya berpaut pada pelampung.

    Tekong bot Empayar Mahsuri, Baseri Aziz, 55, berkata, kejadian berlaku ketika cuaca buruk dengan ombak besar melebihi lima meter dan bot yang mereka naiki bergerak dalam kelajuan hanya 3 hingga 4 knot.

    Menurutnya, mereka ketika itu berada kira-kira 14 kilometer dari daratan.

    “Bot yang kami naiki karam selepas air masuk ke dalam bot apabila papan di bahagian depan bot pecah,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Bukit Malut di sini malam tadi.

    Salah seorang pemancing, Mohd. Syahrin Samsudin, 43, berkata, dia dan rakannya terapung selama enam jam sebelum diselamatkan oleh nelayan bot tunda yang melalui tempat kejadian pada pukul 7.15 malam.

    Menurutnya, dia lega selepas nelayan bot tunda tersebut datang membantu menyelamatkan mereka yang sedang terapung di laut selepas beberapa bot nelayan yang melalui kawasan itu sebelum itu tidak menyedari keadaan mereka itu.

    “Ketika kami diselamatkan keadaan ketika itu sudah gelap dan kami bernasib baik apabila nelayan bot pukat tunda itu menyalakan lampu ke arah kami yang sedang terapung.

    “Mungkin Allah bagi petunjuk kepada bot yang nak selamat kami itu setelah kami sentiasa azan dan berdoa agar kami dilindungi dan selamat,” ujarnya.

    Mohd. Syahrin memberitahu, mereka mula mengikut trip memancing selama empat hari dengan menaiki itu sejak Khamis lalu dan dijadualkan pulang ke Jeti Kuala Perlis, Perlis hari ini.

    “Kejadian itu berlaku ketika kami sedang dalam perjalanan pulang selepas mendapati keadaan cuaca semakin buruk,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kapal Maritim Tenggol dan Bot Penyelamat 5 yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat telah mengambil kesemua 18 pemancing dan kru tersebut untuk dibawa ke Jeti Bukit Malut.

    “Dua daripada pemancing itu mengalami kecederaan iaitu seorang dipercayai patah kaki dan seorang lagi cedera tangan kiri.

    “Pemancing dan kru bot yang lain tidak mengalami kecederaan, namun mereka dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.



  • [Video] Bot karam di Langkawi: 14 pemancing, 4 kru diselamatkan bot nelayan

    [Video] Bot karam di Langkawi: 14 pemancing, 4 kru diselamatkan bot nelayan

    LANGKAWI: Semua 14 pemancing dan empat kru yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di sini, hari ini, dilaporkan selamat.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.

    “Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam perjalanan ke posisi bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa.

    “Kita masih dalam usaha menyelamat,” katanya melalui kenyataan, sebentar tadi.

    Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 2 petang hari ini, bot terbabit dikhuatiri karam pada kedudukan 9.4 batu nautika Barat Pulau Beras Basah di sini dan dilaporkan membawa kumpulan pemancing dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah dipetik berkata, pihaknya telah menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Katanya, menerusi sektor operasi yang diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika, pasukan SAR menemui beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan.



  • [Video] 14 pemancing, 4 kru hilang, bot dikhuatiri karam di perairan Langkawi

    [Video] 14 pemancing, 4 kru hilang, bot dikhuatiri karam di perairan Langkawi

    LANGKAWI: Sebuah bot membawa empat kru dan 14 pemancing dilaporkan hilang dan dikhuatiri karam dipercayai akibat dipukul ribut di kedudukan 9.4 baru nautika barat Pulau Beras Basah, dekat sini, hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku jam 2 petang tadi.

    “Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan sebuah bot dilaporkan hampir karam itu.

    “Bot KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 telah diatur gerak bagi operasi Carilamat (SAR) sebaik menerima laporan daripada MRSC Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Katanya, maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi sahabat termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta komuniti nelayan setempat.

    Katanya, sektor operasi diperluaskan dari lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan.

    “Penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.

    “Sehingga kini pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot mereka,” katanya.